Thursday, August 21, 2008

~menjadi manusia cemerlang~

MENJADI manusia cemerlang idaman semua orang. Seorang pekerja mahu menjadi pekerja cemerlang, dikagumi dan dihormati. Pelajar juga tentu selalu bercita-cita atau paling kurang berangan-angan menjadi pelajar cemerlang.

Ibu bapa juga selalu berharap dapat menggalas tanggungjawab dengan cemerlang, begitu juga suami isteri tentu mahu menjadi pasangan cemerlang untuk pasangannya.

Namun apa itu cemerlang? Apakah seseorang itu dianggap cemerlang apabila telah melepasi piawaian yang ditetapkan seperti pelajar yang mendapat semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Benar, ini adalah kecemerlangan yang mesti diusahakan semua pelajar juga semua orang, namun ada lagi kecemerlangan hakiki yang jangan sekali-kali terlepas iaitu kecemerlangan sebagai seorang hamba Allah yang dapat mendiami syurga di alam akhirat.
Kecemerlangan bermula dari dalam diri. Keimanan dan ketakwaan dapat mengubah diri malah mampu mengubah dunia.

Allah berfirman dalam surah at-Talaq, ayat 2-3 bermaksud: "Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Dia (Allah) akan mengadakan baginya jalan keluar dan Allah akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. "

Bagaimana mahu menjadi seorang yang bertakwa? Soalan ini pernah ditanya Umar bin al-Khattab kepada sahabat, Ubai bin Kaab.

Ubai berkata: Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?
Jawab Umar: Ya, pernah.

Ubai bertanya lagi: Apakah yang kamu lakukan ketika itu?

Umar berkata: Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh.

Ubai berkata: Itulah takwa.

Abdullah bin Mas'ud mentafsirkan takwa sebagai melaksanakan ketaatan, tidak melakukan maksiat, sentiasa mengingati Allah, tidak lalai, sentiasa bersyukur dan tidak kufur.

Islam tidak memandang kecil kecemerlangan di dunia. Malah, kecemerlangan di dunia dapat menjadi alat untuk mencapai kecemerlangan di akhirat.

Orang bertakwa yang cemerlang di dunia akan cemerlang di akhirat.

Seorang yang mahu cemerlang di dunia akhirat boleh menjadikan tip ini sebagai panduan:

Pertama: Laburkan masa untuk merancang hidup.

Kedua: Tentukan matlamat kerana matlamat yang jelas memudahkan perjalanan hidup agar tidak menjadi seperti kapal tanpa nakhoda yang hanyut dipukul ombak.

Ketiga: Tentukan keutamaan dalam hidup anda, letakkan kehendak Allah di depan.

Keempat: Lakukanlah perkara yang betul dan buat betul-betul. Jangan membazir masa dengan melakukan benda sia-sia.

Kelima: Utamakan kerja yang penting daripada yang kurang penting. Jangan melengah-lengahkan kerja yang penting kerana ia boleh menjadi kerja yang sukar nanti.

Keenam: Jangan berazam mahu menjadi sangat sempurna, kerana hanya Allah Yang Maha Sempurna. Jika kita tidak mahu mencuba kerana takut gagal, kita takkan ke mana-mana. Jangan buang masa dengan perasaan was-was.

Ketujuh: Buangkan sikap suka menangguhkan kerja, umpama orang yang diamanahkan membawa beras seguni sehari tetapi menangguhkan hingga sepuluh hari, akhirnya tidak mampu dia hendak memikul sepuluh guni beras sekali gus.

Kelapan: Belajar untuk berkata TIDAK pada perkara yang tidak penting dan sia-sia. Jadilah seorang yang tegas pada diri sendiri.

Kesembilan: Hargailah diri anda sendiri, buat yang terbaik untuk diri anda agar dapat mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Wallahualam.., semoga bermanfaat.aminn..

it's for life, not for school that we learn...!

1 comment:

Anonymous said...

Kalau ada satu golongan umat Islam atau satu kaum di kalangan umat Islam kecemerlangan akhlak mereka makin meningkat, makin lama makin terserlah, makin lama makin indah, tanda kaum itu jangka panjang akan menguasai dunia, tapi kalau umat Islam itu kemajuan dan pembangunannya bertambah pesat tapi akhlak makin menurun,gejala masyarakat makin bejat tanda bangsa itu hendak hancur atau rosak.

SALAM UKHWAH...saya link blog saudari.